Rabu, 14 Ogos 2013

puTRi SantubanG dan puTri SejenjaNG

Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang ialah dua orang puteri dewa kayangan yang mempunyai paras rupa dan kecantikan yang tiada tolok bandingnya ketika itu. Sesiapa sahaja yang memandang pasti akan terpikat.

Paras kedua-dua puteri anak dewa dari kayangan itu bagaikan purnama menghias alam, bersinar-sinar bergemerlapan. Alis mata, yang lentik dan ekor mata seperti seroja biru di kolam madu.

Walaupun ketinggian tubuh mereka hanyalah sederhana tetapi suara mereka cukup merdu seperti seruling bambu. Inilah kelebihan yang terdapat pada Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang.

Kehidupan Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang amat mesra sekali. Mereka diibaratkan adik-beradik kembar. Senyuman dan kegembiraan sentiasa bermain dibibir. Bergurau dan bersenda tidak lekang daripada keduanya. Mereka sentiasa sepakat dan sekata. Demikianlah kehidupan yang mereka lalui setiap hari.

“Sejenjang, selepas selesainya kerja kita berdua ini, kita bermain-main, mahu?” Tanya Puteri Santubong kepada Puteri Sejenjang yang asyik menumbuk padi.
“Baiklah. Tapi kita mahu main apa ya?” balas Puteri Sejenjang.

“Kita main sorok-sorok di taman bunga di halaman sana. Lepas itu kita petik bunga-bunga yang telah mekar di taman.”

“Yalah Santubong! Sudah lama juga kita tidak memetik bunga-bunga di taman sana.”
Menantikan saat itu, kedua-duanya meneruskan pekerjaan masing-masing hingga selesai.

Pekerjaan Puteri Santubong dari siang hingga malam hanyalah menenun kain. Manakala Puteri Sejenjang pula asyik dengan menumbuk padi.

Pada suatu hari, ketika Puteri Santubong leka menenun kain dan Puteri Sejenjang asyik menumbuk padi, berbual-buallah mereka tentang kecantikan diri masing-masing. Mereka memuji-muji tentang kelebihan diri sendiri.

“Sejenjang! Kau lihat tak diri aku yang serba tidak cacat ini! Dengan duduk menenun seperti ini, aku dapat menjaga kerampingan pinggangku ini. Aku pasti suatu hari nanti, bila anak raja sampai ke mari, dia akan melamar dan mengahwini aku. Aduh! Betapa bahagianya di saat itu, Sejenjang?” Tanya Santubong kepada Sejenjang yang asyik menumbuk padi.

Puteri Santubong terus memuji-muji akan kecantikan dirinya. “Bila aku sudah diam di istana nanti, tentunya dayang-dayang mengelilingi aku, sambil menyikat-nyikat rambutku yang mengurai ini. Nanti mereka akan berkata, inilah anak dewa kayangan yang paling cantik pernah mereka temui. Saat itu akulah tuan puteri yang paling cantik di dunia ini.”

Puteri Sejenjang yang asyik menumbuk padi mulai merasa marah dan cuba menentang kata-kata Puteri Santubong yang menganggap dirinya sahajalah yang paling cantik. Puteri Sejenjang menyatakan dirinya yang paling cantik dan rupawan. Kecantikannya mengalahi paras rupa Puteri Santubong.

“Tidakkah kau tahu Santubong? Dengan cara berdiri menumbuk padi begini menjadikan tubuhku ini, kuat dan tegap. Subur menawan. Leher juga jinjang. Betis bagaikan bunting padi.”

“Dengan menumbuk padi ini juga jari-jemariku halus dan lenganku ini serasa tegap daripada engkau yang asyik bongkok menenun kain. Entah nanti, engkau cepat pula rebah ke bumi. Takut pula anak raja itu melamar aku dahulu,” balas Puteri Sejenjang.

Mendengar kata-kata Puteri Sejenjang, Puteri Santubong enggan mengalah. Puteri Sejenjang juga pantang menyerah. Masing-masing mahu dipuji. Akhirnya, pertengkaran antara Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang semakin hangat. Masing-masing tidak dapat mengawal perasaan mereka lagi. Pertengkaran antara keduanya berlarutan.

Daripada nada suara yang rendah bertukar menjadi lantang sambil mencaci-caci dan menghina antara satu dengan yang lain.

“Sejenjang! Kalau asyik pegang antan, jangan harap betis kau tu akan jadi bunting padi. Takut lemak tak berisi. Dek antan tu jugalah jari-jemari kau tu, kesat dan kasar. Tidak seperti jari-jemariku ini yang halus serta runcing,” kata Puteri Santubong dengan bangga.

Dengan perasaan penuh dendam dan dengan amat marah, Puteri Sejenjang hilang sabar lalu menyerang Puteri Santubong dengan antan di tangan. Ayunan pukulan Puteri Sejenjang amat kuat dan cepat, lalu terkenalah ke pipi Puteri Santubong yang sedang duduk menenun kain. Menjeritlah Puteri Santubong kerana kesakitan.

Puteri Santubong bertambah marah. Puteri Santubong juga tidak berdiam diri, lantas menikam Puteri Sejenjang dengan batang belidah yang ada dalam genggamannya. Tikaman itu tepat ke arah kepala Puteri Sejenjang dan menembusinya. Maka menjeritlah pula Puteri Sejenjang sekuat-kuatnya akibat kesakitan tikaman tersebut. Berakhirlah sebuah persahabatan dan persaudaraan yang telah dijalin oleh mereka selama ini.

Kononnya akibat pergaduhan dan ayunan antan puteri Sejenjang yang terkena ke pipi Puteri Santubong menyebabkan Gunung Santubong telah terpecah menjadi dua seperti yang dilihat pada hari ini. Demikian juga dengan tikaman batang belidah oleh Puteri Santubong yang mengenai tepat ke kepala Puteri Sejenjang, menyebabkan Bukit Sejenjang pecah bertaburan menjadi pulau-ulau kecil berhampiran Gunung Santubong.
Kisah sedih di antara Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang akhirnya menjadi kenangan dan ingatan rakyat Sarawak. Maka lahirlah lagenda Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang yang kita dengar sehingga ke hari ini.
Oh……Puteri Santubong,
Sejinjang sayang,
Kisah lama, Zaman mensia maya.
Puteri Santubong, Puteri Sejinjang,
Penjaga gunung Negeri Sarawak,
Manis sik ada dapat dilawan,
Anak dak Dewa turun kayangan.
Oh……
Santubong puteri bertenun kain malam,
Oh……
Sejinjang puteri menumbuk padi siang.
Satu hari nya dua kelahi,
Beranuk anuk sik renti-renti,
Seorang madah dirik bagus agik,
Seorang sik ngalah walau sampai ke mati.
Udah lejuk nya duak kelahi,
Lalu bertukuk nya duak puteri,
Sejinjang mengayun aluk ke pipi,
Tebik Santubong sampai gituk ari.
Tapi Santubong membalas juak,
Lalu ditikam batang belidak,
Sampei terkena Sejinjang kepala,
Lalu bertabor jadi Pulo Kera.
Kisah Santubong, kisah Sejinjang,
Asal berkawan jadi musuhan,
Kinik tuk tinggal jadi kenangan,
Pakei ingatan sepanjang zaman.

Selasa, 13 Ogos 2013

Bujang SenaNG

Cerita Buaya Bujang Senang Yang Sangat Besar



LEGENDA BUAYA BUJANG SENANG

Jika disebut Buaya Bujang Senang sudah semestinya seseorang itu akan menggambarkan seekor buaya yang bersaiz besar dan juga terkenal dengan serangannya keatas manusia lebih-lebih lagi di sepanjang Sungai Batang Lupar, Sri Aman, Sarawak. Namun begitu berapa ramaikah yang mengetahui bahawa ada cerita mitos mengenai apa itu buaya keramat bernama bujang senang mengikut cerita-ceriti masyarakat setempat yang mendiami sekitar persisiran Sungai Batang Lupar. Mungkin cerita legenda buaya bujang senang ini adalah cerita sebenar yang kemudian ditokok tambah bagi mengindahkan penceritaan hanya Yang Maha Esa sahaja mengetahui halnya.

Diriwayatkan melalui cerita lisan orang tua-tua di dalam masyarakat Iban yang mendiami kawasan sekitar Sungai Skrang Sarawak, beratus-ratus tahun dahulu ketika adat ngayau atau adat memburu kepala masih lagi diamalkan di dalam masyarakat pribumi telah gah seorang pahlawan Iban yang bernama Lungu. Pahlawan Lungu ini diceritakan sebagai seorang pahlawan yang hebat terutama sekali sewaktu beliau menyertai ekspedisi mengayau kerana menyebut namanya sahaja musuh sudah gerun, Dikatakan bahawa Lungu telah banyak membunuh dan juga memotong kepala musuhnya dan kehebatannya bukan sahaja di kawasan sekitar Sungai Skrang namun sehingga ke Batang Lupar. Diceritakan juga bahawa Lungu ini kebal iaitu tidak lut senjata dan kerana itulah beliau di dalam setiap peperangan dengan mudah membunuh musuhnya dan tiada tercalitpun kesan kecederaan pada dirinya. Perkara akan hal kebalnya pahlawan Lungu ini telah menyebabkan musuh-musuhnya bertekad untuk mencari kelemahannya agar mudah mereka membunuh pahlawan Lungu ini kelak.

Pada satu ketika, maka bertekadlah musuh-musuh Lungu untuk menculik isteri kesayangan Lungu dan diharap dengan menculik isterinya maka dapatlah mereka mengetahui kelemahan pahlawan Lungu. Isteri kesayangan Lungu telah diculik dan disembunyikan di suatu kawasan tidak jauh daripada Sungai Batang Lupar. Apabila mengetahui bahawa isterinya telah diculik maka marahlah Lungu dan beliau dengan seorang diri telah mengejar penculik-penculik isterinya sehingga ke Sungai Batang Lupar. Seketika di dalam penculikan itu, isteri Lungu telah diseksa oleh musuh-musuh Lungu demi mendapatkan rahsia kekebalan Lungu. Dek kerana tidak tertahan kepada keseksaan tersebut, isteri Lungu telah secara tidak sengaja membuka rahsia bagaimana untuk menewaskan Lungu. Setelah mengetahui rahsia kelemahan Lungu, musuh-musuh Lungu dikatakan telah melepaskan isteri Lungu namun apabila isteri Lungu terlerai dari ikatan tali pada tangannya, dimasa beliau berlari maka pihak musuh Lungu telah membaling tombak ke arah badan isteri Lungu maka matilah isterinya yang tidak berdosa itu.

Lungu yang melihat pembunuhan isterinya itu telah naik berang lalu bertarung dengan musuh-musuhnya. Namun sayangnya tanpa Lungu sedari bahawa rahsia kekebalannya telah bocor di tangan musuh-musuhnya. Musuh-musuh Lungu dengan sengaja mengajak Lungu untuk bertarung dekat dengan air sungai kerana dikatakan kekebalan Lungu tidak menjadi sekiranya dia memijak air sungai ataupun bertarung di dalam sungai. Lungu yang sudah marah dan hanya ingin menuntut bela atas kematian isterinya yang dicintai sudah tidak mengindahkan pantangnya lagi dan terus bertarung. Akhirnya musuh-musuh Lungu berjaya membaling tombak dan kemudiannya Lungu tewas, Tidak cukup dengan kematian Lungu yang luka parah akibat ditombak, jasad Lungu juga disula terbalik dan mayat Lungu dan isterinya dibiarkan di tepi Sungai Batang Lupar agar ianya tenggelam dan dibawa oleh arus sungai yang deras apabila air pasang kelak.

Diriwayatkan bahawa mayat kedua-dua pasangan suami isteri iaitu Lungu dan isterinya setelah air pasang telah bertukar menjadi 2 ekor buaya besar. Salah seekor buaya besar ini mempunyai tanda belang putih dibelakangnya dan inilah yang dikenali sebagai Bujang Senang. Mengikut cerita orangtua, buaya Bujang Senang ini telah bersumpah akan menuntut bela atas kematian mereka dengan akan menjadikan setiap generasi yang berkaitan dengan musuh-musuh yang telah membunuh mereka sebagai korban. Sehingga sekarang masyarakat setempat di sekitar Sungai Batang Lupar masih lagi mempercayai bahawa buaya Bujang Senang itu tidak mati kerana dia adalah buaya keramat penghuni Sungai Batang Lupar.

Inilah sekelumit cerita legenda buaya Bujang Senang yang amat terkenal di Sarawak. Ramai manusia yang telah menjadi mangsanya dan kita masih lagi tidak mengetahui samada benar atau tidak bahawa Bujang Senang telahpun terkorban seperti yang diwar-warkan pada tahun 1992. Sama-samalah kita berdoa agar semua mangsa-mangsa korban buaya Bujang Senang yang lepas-lepas tenang disisi Tuhan Yang Maha Esa. Amin.