Puteri
Santubong dan Puteri Sejenjang ialah dua orang puteri dewa kayangan
yang mempunyai paras rupa dan kecantikan yang tiada tolok bandingnya
ketika itu. Sesiapa sahaja yang memandang pasti akan terpikat.
Paras
kedua-dua puteri anak dewa dari kayangan itu bagaikan purnama menghias
alam, bersinar-sinar bergemerlapan. Alis mata, yang lentik dan ekor mata
seperti seroja biru di kolam madu.
Walaupun
ketinggian tubuh mereka hanyalah sederhana tetapi suara mereka cukup
merdu seperti seruling bambu. Inilah kelebihan yang terdapat pada Puteri
Santubong dan Puteri Sejenjang.
Kehidupan
Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang amat mesra sekali. Mereka
diibaratkan adik-beradik kembar. Senyuman dan kegembiraan sentiasa
bermain dibibir. Bergurau dan bersenda tidak lekang daripada keduanya.
Mereka sentiasa sepakat dan sekata. Demikianlah kehidupan yang mereka
lalui setiap hari.
“Sejenjang, selepas
selesainya kerja kita berdua ini, kita bermain-main, mahu?” Tanya Puteri
Santubong kepada Puteri Sejenjang yang asyik menumbuk padi.
“Baiklah. Tapi kita mahu main apa ya?” balas Puteri Sejenjang.
“Baiklah. Tapi kita mahu main apa ya?” balas Puteri Sejenjang.
“Kita main sorok-sorok di taman bunga di halaman sana. Lepas itu kita petik bunga-bunga yang telah mekar di taman.”
“Yalah Santubong! Sudah lama juga kita tidak memetik bunga-bunga di taman sana.”
Menantikan saat itu, kedua-duanya meneruskan pekerjaan masing-masing hingga selesai.
Pekerjaan
Puteri Santubong dari siang hingga malam hanyalah menenun kain.
Manakala Puteri Sejenjang pula asyik dengan menumbuk padi.
Pada
suatu hari, ketika Puteri Santubong leka menenun kain dan Puteri
Sejenjang asyik menumbuk padi, berbual-buallah mereka tentang kecantikan
diri masing-masing. Mereka memuji-muji tentang kelebihan diri sendiri.
“Sejenjang!
Kau lihat tak diri aku yang serba tidak cacat ini! Dengan duduk menenun
seperti ini, aku dapat menjaga kerampingan pinggangku ini. Aku pasti
suatu hari nanti, bila anak raja sampai ke mari, dia akan melamar dan
mengahwini aku. Aduh! Betapa bahagianya di saat itu, Sejenjang?” Tanya
Santubong kepada Sejenjang yang asyik menumbuk padi.
Puteri Santubong terus memuji-muji akan kecantikan dirinya. “Bila aku sudah diam di istana nanti, tentunya dayang-dayang mengelilingi aku, sambil menyikat-nyikat rambutku yang mengurai ini. Nanti mereka akan berkata, inilah anak dewa kayangan yang paling cantik pernah mereka temui. Saat itu akulah tuan puteri yang paling cantik di dunia ini.”
Puteri
Sejenjang yang asyik menumbuk padi mulai merasa marah dan cuba
menentang kata-kata Puteri Santubong yang menganggap dirinya sahajalah
yang paling cantik. Puteri Sejenjang menyatakan dirinya yang paling
cantik dan rupawan. Kecantikannya mengalahi paras rupa Puteri Santubong.
“Tidakkah
kau tahu Santubong? Dengan cara berdiri menumbuk padi begini menjadikan
tubuhku ini, kuat dan tegap. Subur menawan. Leher juga jinjang. Betis
bagaikan bunting padi.”
“Dengan menumbuk
padi ini juga jari-jemariku halus dan lenganku ini serasa tegap daripada
engkau yang asyik bongkok menenun kain. Entah nanti, engkau cepat pula
rebah ke bumi. Takut pula anak raja itu melamar aku dahulu,” balas
Puteri Sejenjang.
Mendengar kata-kata
Puteri Sejenjang, Puteri Santubong enggan mengalah. Puteri Sejenjang
juga pantang menyerah. Masing-masing mahu dipuji. Akhirnya, pertengkaran
antara Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang semakin hangat.
Masing-masing tidak dapat mengawal perasaan mereka lagi. Pertengkaran
antara keduanya berlarutan.
Daripada nada suara yang rendah bertukar menjadi lantang sambil mencaci-caci dan menghina antara satu dengan yang lain.
“Sejenjang!
Kalau asyik pegang antan, jangan harap betis kau tu akan jadi bunting
padi. Takut lemak tak berisi. Dek antan tu jugalah jari-jemari kau tu,
kesat dan kasar. Tidak seperti jari-jemariku ini yang halus serta
runcing,” kata Puteri Santubong dengan bangga.
Dengan
perasaan penuh dendam dan dengan amat marah, Puteri Sejenjang hilang
sabar lalu menyerang Puteri Santubong dengan antan di tangan. Ayunan
pukulan Puteri Sejenjang amat kuat dan cepat, lalu terkenalah ke pipi
Puteri Santubong yang sedang duduk menenun kain. Menjeritlah Puteri
Santubong kerana kesakitan.
Puteri
Santubong bertambah marah. Puteri Santubong juga tidak berdiam diri,
lantas menikam Puteri Sejenjang dengan batang belidah yang ada dalam
genggamannya. Tikaman itu tepat ke arah kepala Puteri Sejenjang dan
menembusinya. Maka menjeritlah pula Puteri Sejenjang sekuat-kuatnya
akibat kesakitan tikaman tersebut. Berakhirlah sebuah persahabatan dan
persaudaraan yang telah dijalin oleh mereka selama ini.
Kononnya
akibat pergaduhan dan ayunan antan puteri Sejenjang yang terkena ke
pipi Puteri Santubong menyebabkan Gunung Santubong telah terpecah
menjadi dua seperti yang dilihat pada hari ini. Demikian juga dengan
tikaman batang belidah oleh Puteri Santubong yang mengenai tepat ke
kepala Puteri Sejenjang, menyebabkan Bukit Sejenjang pecah bertaburan
menjadi pulau-ulau kecil berhampiran Gunung Santubong.
Kisah
sedih di antara Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang akhirnya menjadi
kenangan dan ingatan rakyat Sarawak. Maka lahirlah lagenda Puteri
Santubong dan Puteri Sejenjang yang kita dengar sehingga ke hari ini.
Oh……Puteri Santubong,
Sejinjang sayang,
Kisah lama, Zaman mensia maya.
Puteri Santubong, Puteri Sejinjang,
Penjaga gunung Negeri Sarawak,
Manis sik ada dapat dilawan,
Anak dak Dewa turun kayangan.
Oh……
Santubong puteri bertenun kain malam,
Oh……
Sejinjang puteri menumbuk padi siang.
Satu hari nya dua kelahi,
Beranuk anuk sik renti-renti,
Seorang madah dirik bagus agik,
Seorang sik ngalah walau sampai ke mati.
Udah lejuk nya duak kelahi,
Lalu bertukuk nya duak puteri,
Sejinjang mengayun aluk ke pipi,
Tebik Santubong sampai gituk ari.
Tapi Santubong membalas juak,
Lalu ditikam batang belidak,
Sampei terkena Sejinjang kepala,
Lalu bertabor jadi Pulo Kera.
Kisah Santubong, kisah Sejinjang,
Asal berkawan jadi musuhan,
Kinik tuk tinggal jadi kenangan,
Pakei ingatan sepanjang zaman.
